Kenangan manis apabila salah satu cerpen saya yang berjudul 'Legenda Kuda Hitam' memenangi hadiah penghargaan HSKU 2006 dan dibukukan dalam antologi ini.Warna Perang menghimpunkan karya-karya yang telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006 iaitu; 10 buah cerpen, 10 buah puisi dan 2 buah rencana sastera. Karya-karya tersebut merupakan cetusan daripada idea-idea pengarang mapan dan pengarang generasi baharu. Karya-karya yang termuat dalam antologi ini memperlihatkan kematangan pengarang dalam menggarap isu-isu semasa sosial, budaya, ekonomi dan politik yang bersifat setempat dan sejagat. Kepekaan pengarang juga jelas terpancar melalui pemilihan subjek yang memaparkan bibit-bibit pemikiran dekolonisasi rohani. Pemikiran ini menggamit keyakinan diri terhadap kekuatan akar tradisi bangsa sebagai senjata untuk menghadapi godaan dan cabaran hegemoni neokolonialisme. Puisi "Warna Perang" yang menjuduli antologi ini membawa mesej perang yang ditafsirkan sebagai angkara nafsu yang mengakibatkan kedukaan, kehancuran kedamaian, dan sentiasa mengancam kehidupan manusia tanpa kesudahan. Secara tidak langsung, khalayak diajak untuk memikirkan kesan buruk akibat perang dan menjauhinya sedaya mungkin. Dari Ujana Ilmu
Manakala untuk kategori remaja pula, cerpen saya yang berjudul 'Mencari Gayung' telah terpilih juga untuk hadiah penghargaan. Kedua-dua antologi ini sebenarnya telah diterbitkan pada 2007 oleh Utusan Publications walaupun ianya merupakan anugerah untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2006.Ihsan dari blog sdri Nisah Haron dan teksnya dari Ujana Ilmu
Pusaka Cendana merupakan antologi 10 buah karya yang telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006 bagi Kategori Cerpen Remaja. Karya-karya tersebut merupakan hasil cipta pengarang generasi baharu, di samping pengarang kawakan. Karya-karya yang termuat dalam antologi ini memperlihatkan perkembangan pemikiran pengarang menggarap pelbagai isu di sekeliling mereka. Isu yang bersifat lokal dan menjangkau permasalahan sejagat menunjukkan kepekaan pengarang terhadap gejolak dan aspirasi remaja dalam era globalisasi yang serba mencabar. Selain itu, terdapat juga karya yang menangkat budaya warisan bangsa yang semakin dilupakan, di samping isu-isu alam sekitar, pertembungan kebudayaan serta kekeluargaan dan kemanusiaan. Karya-karya ini dihadirkan secara berseni dan membawa manfaat dalam pembinaan nilai keinsanan dan keihsanan.
"Pusaka Cendana" yang menjuduli antologi ini mengangkat kesenian bongai, sejenis nyanyian tradisional Negeri Sembilan sebagai simbol keperibadian khazanah budaya bangsa yang perlu dilestarikan oleh generasi hari ini. Cerpen ini juga memanfaatkan ilmu undang-undang untuk mengabsahkan pelestarian kesenian tersebut.
Untuk Catatan Penulis :
a) Cerpen 'Legenda Kuda Hitam' - tersiar di Mingguan Malaysia pada 17 September 2006
b) Cerpen 'Mencari Gayung' - tersiar di Mingguan Malaysia pada 22 Januari 2006.

0 comments:
Post a Comment